Monday, February 15, 2010

Ajal, maut, jodoh, pertemuan, itu ketentuan Allah.

Suatu hari aku menerima suatu 'miss call' daripada seseorang. Kemudian aku terus menghubungi nombor yang tertera di telefon bimbitku.

"Assalamualaikum, siapa ni?" Sapaku memulakan bicara.

"Waalaikumsalam. Hai Hana. Dayah ni! " Orang itu memulakan bicara dengan memperkenalkan dirinya.



"Dayah??? Hidayah Khalil???" Aku terjerit kecil bagaikan tidak percaya sahabatku yang selama ini kurindui berada di hujung talian. 'Hana' adalah panggilan mesra di kalangan teman-teman puteri waktu di sekolah dulu.

"Bila balik Malaysia?Apa habaq?Dok ada kat mana ni? kerja dah ka?" Tanyaku bertalu-talu dalam slanga Kedah kerana kami orang Kedah.

Aku sememangnya tidak sabar untuk mengetahui perkembangan dirinya. Sudah agak lama aku tidak menemuinya. Setelah tingkatan tiga, aku telah ditawarkan ke sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan. Sejak detik itu, kami membawa haluan masing-masing tetapi sesekali kami berhubung bertanya khabar dan adakalanya aku akan bertandang ke rumahnya ketika Hari Raya Aidilfitri.

Setelah tamat tingkatan lima, berbekalkan keputusan SPM yang cemerlang, dia telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di salah sebuah universiti di Indonesia. Bermula dari saat itu, kami tidak lagi pernah bertemu kecuali pada hari raya tahun 2008 apabila dia pulang ke Malaysia untuk bercuti.

"Ish hang ni Hana, kot nak tanya pun, satu-satu la." Balas Dayah berseloroh. Aku tersengih di hujung talian.

"Aku balik dah sebulan." Dayah menambah. "Hah, dah sebulan baru nak hubungi aku?" Aku memotong bicaranya demi meluahkan rasa kecil hatiku.

"Sorry la, aku takdan nak buat apa pun, sibuk uruskan banyak hal, ni aku nak kena pi balik kampus untuk konvo." Dayah cuba menjelaskan keadaanya. Aku diam, masih berjauh hati.

"Ni Ieda call Hana ni sebab nak panggil makan kenduri Ieda nanti." Nada suaranya kedengaran lebih serius. Kadang-kadang dia bahasakan dirinya Ieda.

"Makan kenduri?" Aku yang pada mulanya terkejut dengan panggilannya yang tidak disangka-sangka, bertambah terkejut lagi dengan berita 'makan kendurinya'.

"Kenduri kesyukuran ke?" Tambahku cuba menyedapkan perasaan sendiri. "Hai, takkan la dia ni dah nak kahwin. baru je habis study." aku bermonolog sendirian.

"Bukanlah, kenduri Ieda la, insyaAllah pada 14 Febuari nanti. Ieda nak jemput Hana sekeluarga. Ni nak minta alamat. Nanti Ieda nak pos kad jemputan. Jemputlah na?" kali ini nadanya lebih bersungguh-sungguh.

"Hang dah nak kahwih Dayah?La, cepatnya....Macam tak percaya!" Akhirnya sangkaanku benar. Dayah akan bernikah dan akan mengakhiri zaman bujangnya.

Apabila sudah menjadi isteri, besar tanggungjawabnya terhadap suami. Suami mesti diutamakan dalam segala hal.

Rasulullah saw pernah bersabda, "Apabila seorang wanita itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang dia kehendaki". Hadis sahih riwayat al-Bazzar.

Sebagai seorang muslimah, tentang solat, puasa dan kehormatan diri, itu sudah menjadi kewajipan untuk dijaga. Tetapi apabila Rasulullah menyatakan perlu taat kepada suami jika hendak masuk syurga, maka boleh disimpulkan betapa besar darjat seorang suami di sisi seorang isteri. Isteri hendaklah taat kepada suaminya selagi mana dia tidak menyuruh berbuat kemungkaran. Maka para wanita dinasihatkan supaya harus memilih suami yang soleh, tetap agamanya dan wasatiah (seimbang di antara dunia dan akhirat) untuk dijadikan teman sehidup semati bagi menjamin tempat kita di syurga.

"Alhamdulillah, dah sampai jodoh aku. Nak buat macam mana?" Dayah mengucapkan syukur sekaligus mematikan lamunanku. Itulah jawapan terbaik yang bisa mematikan sebarang hujah daripadaku.

Bukankah ajal, maut, jodoh dan pertemuan itu ketentuan Allah SWT? Dan sebenarnya Allah memang telah menciptakan sesuatu itu berpasang-pasangkan. Maka apabila sudah bertemu jodohnya, kenapa harus dilewat-lewatkan? Bukankah perkahwinan itu sesuatu yang dituntut dalam Islam? Malah kata baginda Muhammad saw lagi barangsiapa yang berkahwin, maka dia telah menyempurnakan sebahagian daripada agamanya.

Astagfirullahal a'zim...aku bukan lupa dengan kenyataan itu tetapi aku merasakan terlalu awal Dayah membuat keputusan untuk bernikah. Aku ingat dia akan bekerja dahulu barang setahun dua setelah tamat belajar. Jadi sempatlah kami meluangkan masa bersama-sama. Namun inilah yang dinamakan sebuah kehidupan. Dia sendiri tidak menyangka yang jodohnya sampai begitu awal. Semuanya seperti telah diatur. Dalam tempoh tidak sampai setahun mereka berkenalan secara rapat, mereka sepakat untuk mensucikan perhubungan itu dengan suatu ikatan yang sah. Melalui istikharah Hidayah redha dengan keputusannya.

"Alhamdulillah." Akhirnya, aku juga turut mengucapkan syukur mendengar khabar gembira sahabatku yang seorang ini. "Patut la tak dan contact aku walaupun dah balik sebulan, rupa-rupanya sibuk uruskan hal kahwin." Omelku dalam hati.

Semoga kau sentiasa sabar dan tabah dalam menempuh alam berumahtangga. Semoga perkahwinan kalian bahagia dan kekal selamanya. Amin ya rabbalalamin....
Hidayah dan Suaminya, Adli setelah sah
bergelar suami isteri di Masjid Aman, Alor Setar.

Pengantin perempuan tersenyum bahagia

















 

No comments:

Post a Comment